Persatuan Pegawai Akademik
Pusat Pegawai
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-89467986
E-mail: ppa@upm.edu.my
www.ppa.upm.edu.my

 

 

 

 Anugerah Fellowship Naib Canselor bagi Kateori Kecemerlangan Pengajaran (2004)

 

 

Biodata Profesor Madya Dr. Arfah Salleh

 

 

Arfah mendapat pendidikan awalnya di Bandar Bharu English School, Kedah pada tahun 1966.  Seterusnya ia mengikuti pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. sebelum berangkat ke England untuk mengikuti pengajian di peringkat “A-Levels” di bawah tajaan Kerajaan Malaysia di Blackpool College, England pada tahun 1977.   Pada tahun 1979, Arfah menyambung pengajiannya peringkat bacelor di University of Stirling, Scotland dalam bidang Perakaunan.  Setelah tamat pengajian, Arfah kembali pada tahun 1984 dan memilih untuk  berkhidmat di Univerisiti Utara Malaysia (UUM) memandangkan UUM baru sahaja menubuhkan program Bacelor Perakaunan. 

 

Setahun kemudian, Arfah mengikuti program MA dalam Economics of Finance and Investment di University of Exeter, England.  Beliau menamatkan pengajian Masternya dalam tempoh 9 bulan sahaja dan seterusnya mendapatkan persetujuan UUM untuk menimba pengalaman bekerja dalam bidang Pengurusan Dana dan Analisis Pelaburan di James Capel International Asset Management Ltd, London, sebelum pulang ke Malaysia.  Namun, atas sebab keluarga, beliau terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur di akhir tahun 1986 dan berkhidmat di UPM pada 16 Disember.

 

Di UPM, Arfah telah menunjukkan keupayaan dan minat untuk membawa pembaharuan kepada kaedah P&P sejak awal  berkhidmat dan memperkenalkan kaedah P&P berasaskan komputer kepada pelajar Bacelor Perakaunan UPM sejak akhir tahun 1987.  Usaha ini bukan merupakan usaha awal dalam pendidikan Perakaunan di UPM sahaja, malah, merupakan perintis bagi penyelidikan dalam penggunaan komputer dalam P&P perakaunan di negara ini, berkemungkinan juga di rantau ini.  Arfah berjaya mengkomersilkan perisian pendidikan perakaunan yang pertama di Malaysia melalui perisian SKiP pada tahun 1998 dengan kerjasama Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).  Kerana minatnya yang mendalam untuk membawa pembaharuan kepada pendidikan perakaunan negara, Arfah membuat keputusan melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang perakaunan berkomputer di University of East Anglia, Norwich, iaitu universiti pengasas penyelidikan dalam bidang ini di England. 

 

Untuk tidak mengganggu perjalanan hidup keluarga, khasnya dengan penglibatan suaminya dalam dunia perniagaan, Arfah memilih untuk mengikuti pengajiannya secara separuh masa walaupun ini bermakna beliau terpaksa menghadapi tekanan dan cabaran dari segi pengurusan masa. Pada tahun 2000, Arfah berjaya mendapat ijazah PhD dan juga telah dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya. Dua tahun kemudian beliau berjaya menjadi ahli penuh badan perakaunan profesional CPA Australia dan seterusnya Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

Penglibatan Sri Kandi kelahiran negeri Jelapang Padi ini dalam pendidkan perakaunan tidak terhad kepada kaedah pengajaran tetapi juga kepada perkembangan kurikulum. Pengalaman ini diiktiraf oleh badan profesional seperti  Education & Training Committee dan Accreditation Task Force MICPA, dan Education Committee serta Penasihat Research Committee CPA (Australia) serta agensi kerajaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia dan  Lembaga Akreditasi Negara. Baru-baru ini beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Malaysian Accounting Research and Education Fund (MAREF). 

 

Mulai Jun 2001, Arfah dilantik menjadi Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan (GSM) dan kini merupakan Pemangku Dekan.  Walaupun terlibat dengan tugas pentadbiran, beliau tidak berhenti usaha mengeluarkan bahan P&P untuk pendidikan Perakaunan.  Beberapa perisian pendidikan dan simulasi perakaunan yang dihasilkannya telah berjaya meraih pingat emas untuk UPM di pameran International Innovation & Industrial Design Exhibition (I-TEX) 2002; Science and Technology Exhibition 2003; serta Science, Technology & Innovation Exhibition 2004, selain daripada pameran di peringkat UPM. 

 

Setelah melibatkan diri dengan pengurusan pendidikan di peringkat sarjana di GSM, Arfah berusaha untuk mencari kaedah P&P yang lebih efektif untuk mengeluarkan siswazah yang berkualiti melalui “Problem-Based Learning”.

 

Maka amat bertepatanlah sekali Arfah dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang UPM untuk tahun 1994 dan 2002.  Arfah juga dipilih sebagai calon UPM untuk Anugerah UNESCO Jan Amos 2004 bagi pendidik berinovasi dan pembawa pembaharuan kepada pendidikan belia di rantau ini.

 

 

Disediakan oleh

 

Profesor Dr. Kamariah Abu Bakar

Fakulti Pengajian Pendidikan

Universiti Putra Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

STAFF CENTRE

PPAUPM is operating from the Staff Center near Rugby field where the new restaurant is operating daily. Everybody is welcomed to visit the office. Contact number is 89467986. Enquiries can also be directed via e-mail to the Executive Committee Members at ppa@upm.edu.my

 

Membership

All staff of the university is eligible and encouraged to join the association. Membership forms are available either from the website, from the representative at the Faculty or from the Staff Centre. Three categories of memberships are Ordinary, Life and Associate member.